Thursday, March 13, 2008

Pengundi Melayu termakan janji pembangkang
Oleh Nordiana Abd Wahab
KUALA LUMPUR: Tindakan pengundi Melayu memilih pakatan barisan alternatif pada pilihan raya umum lalu dilihat sebagai termakan janji manifesto dan eksperimen untuk menguji kemampuan pembangkang mentadbir. Sambil menyifatkan ia berlaku disebabkan beberapa faktor sampingan, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata peralihan undi itu bukan bermakna orang Melayu kurang cerdik, tetapi memberi mandat kerana termakan umpan pembangkang yang berjanji untuk membela nasib rakyat melalui manifesto mereka. Katanya, pembangkang memperoleh mandat besar juga bukan disebabkan peralihan undi orang Melayu tetapi disebabkan peralihan undi oleh majoriti masyarakat Cina kepada parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kita menghormati pilihan rakyat kerana ini negara demokrasi, tetapi apa yang kita lihat peralihan undi ini lebih untuk melihat kemampuan pembangkang menerajui negeri dan menunaikan janji yang mereka buat sebelum pilihan raya dan isu setempat membawa pada kekalahan BN. “Ramai orang yang kita temui mengaku mengundi pembangkang sebagai satu eksperimen, tapi mereka tidak jangka keadaan boleh jadi begini selain tidak mengambil kira sama ada pemilihan mereka itu akan membawa kekuatan dan kestabilan negeri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam. Pengarah Eksekutif Kajian Strategi Melayu, Datuk Dr Mohd Radzi Abd Latif, berkata situasi berkenaan menunjukkan hak mereka sebagai pengundi dan juga disebabkan pembangkang bijak dengan memainkan permasalahan semasa untuk meraih undi.
“Tempoh kempen yang lama memberi masa untuk pengundi menetapkan keputusan dan menilai semua mesej yang disampaikan baik oleh kerajaan mahupun pembangkang. “Kita rasa soal bangsa dan agama sudah tidak relevan lagi bagi senario politik negara, apa yang penting pengundi melihat pada janji dan mesej yang disampaikan pakatan pembangkang yang dilihat cuba membela nasib rakyat,” katanya. Pandangan itu disokong Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad, yang menyifatkan rakyat ingin menyampaikan mesej bahawa kuasa sebenar terletak di tangan mereka sekali gus pemimpin harus menghormati dan memahaminya sebaik mungkin. "Perkara ini berpunca dari rasa tidak puas hati rakyat, mereka bukan hendak sangat pembaharuan, kerajaan pertimbangkan dan fikir mengapa berlakunya situasi ini selain perlu melihat pelbagai kemungkinan dan menyelami kehendak masyarakat yang inginkan perubahan serta ingin suara mereka didengar," katanya.

1 comment:

Abd Bashid Harun said...

Walau apa pun keputusan telah dibuat. Itu tidak mungkin ditarik balik. Rakyat yang memilih Barisan Alternatif harus bertanggungjawab dan menerima semua akibatnya. Apa jua implikasinya, harus diterima sebab mereka yang memilihnya. Bagi saya nasi sudah menjadi bubur. Tiada apa yang hendak dirungutkan lagi.