Thursday, August 28, 2008

BN kalah di Permatang Pauh

Keputusan Permatang Pauh tak jejas BN: PM


JOHOR BAHRU: Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang dimenangi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, tidak semestinya boleh berlaku di kawasan Parlimen lain, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil itu juga tidak merubah kerajaan sedia ada yang diterajui Barisan Nasional (BN).

"Keputusan itu hanya membabitkan satu pilihan raya kecil seperti pilihan raya kecil lain sebelum ini. Ia bukan perkara yang boleh melemahkan BN kerana kita tidak kehilangan 20 atau 30 kerusi.



"Oleh itu, saya berasakan kita masih boleh bergantung harap kepada Umno serta BN kerana kita menang dalam pilihan raya umum lalu. Kita hanya tidak mendapat majoriti dua pertiga,” katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-12 di sini, semalam.

Dalam pilihan raya kecil itu, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi apabila memperoleh 31,195 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi.

Seorang lagi calon, Hanafi Mamat, 61, daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) hilang wang pertaruhan selepas hanya mendapat 92 undi.

Abdullah berkata, kemenangan pembangkang mempertahankan kerusi itu memang sudah dijangka dan ia tidak akan melemahkan kekuatan BN yang hanya kekurangan lapan kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya kecil itu juga tidak menggugat perpaduan BN yang masih mantap dan utuh.

"Kita dalam BN sudah memahami apa yang berlaku kepada parti komponen BN dalam pilihan raya umum lalu. Jika pada pilihan raya kecil Permatang Pauh menunjukkan trend yang sama, maka ialah adalah ekoran daripada trend pilihan raya umum lalu," katanya.

Perdana Menteri juga menolak kemungkinan kemenangan Anwar itu mendorong parti komponen meninggalkan BN dan membentuk kerajaan baru bersama Pakatan Rakyat pada 16 September ini.

“Tidak, ahli BN tidak meninggalkan BN begitu saja. Jika ada masalah dalam BN, baik kita selesaikan dalam parti dan tidak sampai peringkat untuk meninggalkan parti. Saya menganggap ini salah satu kejadian yang tidak akan berlaku," katanya.

Abdullah menyifatkan kekalahan Arif Shah tidak seteruk seperti didakwa pembangkang kerana beliau memperoleh lebih 15,500 undi dan menggagalkan impian Anwar untuk menghilangkan deposit calon BN.

Katanya, BN sudah membentuk badan khas untuk membuat kajian menyeluruh keputusan pilihan raya kecil itu termasuk sebab pengundi Melayu, Cina dan India serta golongan muda dan dewasa cenderung mengundi pembangkang.

Beliau berkata, BN menerima keputusan pengundi Permatang Pauh memilih Anwar dan bangga proses demokrasi masih berjalan baik di negara ini.