UMNO perlu kembali kepada kaedah lama
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, parti itu perlu kembali kepada cara pemilihan asal iaitu menetapkan kuota kepada hanya dua pencalonan untuk layak bertanding.
Kata beliau, hanya dengan cara itu, kegiatan politik wang dapat ditangani.
"Kita perlu balik kepada pemilihan parti mengikut cara lama misalnya kuota dua pencalonan. Cara-cara yang mewujudkan politik wang perlu dihapuskan.
"Saya fikir gejala ini perlu dikawal jika tidak gunakan pemilihan ikut cara lama, cuba cari kaedah lain kerana cara pemilihan pada masa ini yang menyebabkan berlaku politik wang," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Lukisan dan Seni Kontemporari Antarabangsa di Pusat Kesenian Mid Valley di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai usaha membanteras gejala politik wang dalam parti sebagai satu proses yang memerlukan keazaman politik.
Malah, kata Timbalan Perdana Menteri, secara realistiknya, masalah itu tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Muhammad Taib yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, sistem kuota dalam pemilihan parti yang diamalkan sekarang menjadi punca berlakunya politik wang.
"Selagi sistem ini tidak dihapuskan, selagi itu masalah politik wang di dalam UMNO tidak akan selesai," tegasnya.
Beliau berkata, keharmonian dalam UMNO perlu dipulihkan segera dan usaha membanteras gejala politik wang perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Thursday, November 27, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)
