Friday, September 19, 2008

Kenapa tiada tindakan terhadap karpal

NGO: Kenapa tiada tindakan terhadap Karpal
KUALA LUMPUR 19 Sept. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan mengapa sehingga kini masih tiada tindakan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury tidak lama dahulu.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad berkata, setelah lebih empat bulan berlalu, timbul tanda tanya apakah pihak berkuasa memberi layanan dwi standard kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu hanya kerana beliau seorang peguam ternama.

Sedangkan katanya, jika dilihat tidak ada salahnya untuk mengatakan yang kenyataan Karpal itu adalah antara permulaan kepada tercetusnya beberapa kenyataan berunsur perkauman di negara ini selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12.

‘‘MBM antara berbelas-belas pihak yang membuat laporan polis ke atas Karpal dan saya sendiri telah dipanggil untuk memberi keterangan tetapi nampaknya sehingga kini tiada tindakan ke atas Karpal.

‘‘Apa yang MBM harap kini ialah walau apa pun tindakan pihak berkuasa, biarlah ia mencakupi semua yang terlibat kerana jika tidak, rakyat akan terus gelisah dengan senario yang berlaku,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Karpal awal Mei lalu dilaporkan mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Jamry yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Karpal mempertahankan kenyataannya itu dan enggan meminta maaf walaupun dikritik pelbagai pihak kerana berpendapat bahawa kenyataan tersebut bersabit isu perundangan.

Kenyataan itu mendorong UMNO dan beberapa NGO antaranya MBM, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) dan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) membuat laporan polis ke atas Karpal.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal namun Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada 5 Jun lalu dilaporkan mengarahkan polis membuat siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar berkata, rakyat melihat kenyataan Karpal yang seakan mempertikaikan kuasa Sultan Perak, satu perbuatan yang sangat serius dan menggugat hubungan kaum di negara ini.

Wednesday, September 10, 2008

Alhamdulillah Tun kembali kepada UMNO

Keputusan Dr. M kukuhkan UMNO

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, SITI MARIAM MD. ZAIN, ZAINI RABAN dan NORIZAN ABDUL MUHID

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai semula UMNO akan memperkukuhkan parti berkenaan.

Pelbagai pihak hari ini berpendapat, keputusan itu juga membuktikan Dr. Mahathir tidak sanggup melihat parti utama yang menaungi orang Melayu menjadi lemah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kepulangan Dr. Mahathir ke pangkuan UMNO akan meningkatkan perpaduan ahli parti.

Beliau yang mengalu-alukan keputusan tersebut turut menjelaskan UMNO tidak mempunyai masalah untuk menerima semula negarawan itu.

"Langkah yang diambil Dr. Mahathir juga akan memperkuatkan UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan hasrat Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO yang dibuat dalam satu pertemuan Sabtu lalu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli parti supaya tidak memandang sinis atau memperlekehkan keputusan itu.

Katanya, apa yang berlaku sebelum ini umpama 'merajuk pada yang sayang' iaitu merajuk yang tidak berpanjangan.

"Sepedas mana pun pandangan beliau kepada UMNO sebelum ini, ia sebenarnya pandangan yang ikhlas.

"Pendapat Dr. Mahathir sebagai bekas presiden parti tentu lebih bernilai dan mempunyai kredibiliti jika beliau berada dalam UMNO," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyatakan komitmennya untuk mencadangkan kepada MT UMNO supaya menerima semula Dr. Mahathir.

Beliau juga bersedia menawarkan jawatan Ketua UMNO Cawangan Rantau yang disandangnya kepada Dr. Mahathir jika tiada cawangan lain mahu menerima bekas Perdana Menteri itu.

"Kalau tidak ada orang yang menerimanya dalam mesyuarat MT nanti, saya sebagai ahli MT akan cadangkan kita terima.

"Kalau tidak ada cawangan mahu terima beliau sebagai ahli, saya mempelawa Tun masuk ke cawangan saya, boleh jadi ketua cawangan saya... tak apa," katanya.

Sementara itu, Mohamad mahu kemasukan Dr. Mahathir ke dalam UMNO dibuat dengan telus tanpa mengenakan sebarang syarat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Dr. Mahathir.

Katanya, sebagai orang lama dalam parti, Dr. Mahathir sarat dengan pelbagai idea yang relevan.

"Elok (Dr. Mahathir) masuk semula. Kita akan menyokong, UMNO Pahang menyokong kuat kemasukan semula beliau," katanya.

Keputusan Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO turut disambut baik oleh Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya berharap langkah Dr. Mahathir itu akan membantu mengukuhkan UMNO.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebagai pemimpin Melayu terbilang, Dr. Mahathir sebenarnya amat sayangkan kaumnya dan tidak sanggup melihat mereka menjadi lemah.

"Walaupun pandangannya selama ini agak pedas tetapi sebenarnya itu tidak menjadi masalah dan kita harus terima. Apa yang penting, kita sekarang sudah kembali ke landasan betul.

"Penyertaan semula itu juga dapat mengelakkan tindakan pembangkang yang menjadikan Dr. Mahathir sebagai 'peluru' untuk menyerang UMNO dan kerajaan," katanya.