Kesan bahasa Inggeris dua subjek dikaji: Najib
Oleh Abdul Razak Raaff
KEMAHIRAN BERBAHASA: Najib, Kalimullah dan Azlan memegang bebola kaca ketika melancarkan Cabaran Mengeja Dengan Betul di Putrajaya, semalam.
Pencapaian pelajar tentukan pengantar Sains, Matematik PUTRAJAYA: Kerajaan akan membuat penilaian terhadap pencapaian pelajar yang menggunakan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum menentukan sama ada sistem itu akan diteruskan atau sebaliknya, kata Datuk Seri Najib Razak. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu melihat pencapaian pelajar berkenaan dari segi penguasaan bahasa Inggeris sebelum membuat keputusan termasuk sama ada ia harus kembali diajar dalam bahasa Melayu sebelum akhir tahun ini.
"Keputusannya akan ditentukan bergantung kepada tahap pencapaian menguasai bahasa Inggeris," katanya pada sidang media selepas melancarkan Cabaran Mengeja Dengan Betul (Spell-It-Right) anjuran Kumpulan RHB Bank dan akhbar The New Straits Times (NST), di sini semalam. Hadir sama, Pengerusi Kumpulan RHB Bank, Datuk Azlan Zainol; Timbalan Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Datuk Seri Kalimullah Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar; dan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun. Sebelum ini, beberapa perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, mahu kerajaan mengembalikan semula penggunaan bahasa Melayu bagi menggantikan PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003, jika ia gagal mencapai matlamat.
Terdahulu, Najib menggesa ibu bapa dan guru memainkan peranan penting bagi memastikan anak mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sekali gus menggunakannya dalam komunikasi harian. "Kita tidak akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan fasih jika terpaksa memikirkan perkataan itu dalam bahasa lain terlebih dulu, sebelum bercakap dengan orang lain. "Untuk menguasai bahasa Inggeris kita mesti sayang dan menghargainya, sekali gus menganggapnya sebahagian daripada diri kita," katanya. Najib berkata, ibu bapa dan guru juga hendaklah menyemai rasa kecintaan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dengan menggalakkan anak mereka membaca buku dan akhbar kerana ia membantu memperkayakan tata bahasa serta memudahkan komunikasi.
Katanya, mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris tidak bermakna bahasa Melayu akan dianggap kurang penting, sebaliknya ia adalah sebagai persediaan kepada rakyat dan negara supaya lebih kukuh, mempunyai ketahanan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Selain itu, Najib yakin cabaran Mengeja Dengan Betul yang juga satu daripada konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) RHB Bank dan NST boleh menggalakkan pelajar dan generasi muda untuk menguasai tatabahasa bahasa Inggeris. "Saya menghargai usaha NST dan RHB bank yang bergabung untuk menganjurkan program sebegini. Saya harap lebih banyak pertandingan mengeja dan aktiviti lain dapat diadakan pada masa depan, bagi menggalakkan generasi muda menguasai bahasa Inggeris," katanya. Cabaran Mengeja Dengan Betul terbahagi kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan menengah yang diadakan dalam dua peringkat iaitu cabaran peringkat negeri serta peringkat kebangsaan. Sehingga kini, seramai 1,692 peserta dari 182 sekolah rendah dan 241 sekolah menengah seluruh negara mengesahkan penyertaan dalam cabaran yang berlangsung sehingga Ogos depan. Juara peringkat negeri bagi kategori sekolah rendah akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, manakala tempat kedua (RM800) dan tempat ketiga RM500, sementara kategori sekolah menengah akan menerima RM2,000; kedua (RM1,500) dan ketiga (RM1,000). Pemenang utama peringkat kebangsaan kategori sekolah rendah akan menerima RM3,000, diikuti kedua (RM2,000) dan ketiga RM1,000, manakala kategori sekolah menengah akan menerima RM6,000; kedua (RM4,000) dan ketiga (RM2,000). Cabaran pertama peringkat negeri bermula di Sabah dan Sarawak pada 5 dan 6 April lalu, mendapat sambutan amat menggalakkan di kalangan pelajar, sekolah dan ibu bapa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment