Friday, April 25, 2008

Rm1J kos siaran langsung sidang Dewan Rakyat

RM1j kos siaran langsung sidang Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR 24 April - Siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama sejam melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada setiap kali persidangannya akan menelan belanja kira-kira RM1 juta.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kos program yang akan bermula minggu depan itu melibatkan penyediaan peralatan dan infrastruktur termasuk pemasangan tiga kamera secara tetap untuk membolehkan RTM membuat siaran langsung tanpa gangguan.
Katanya, pemasangan kamera itu perlu kerana RTM tidak mahu bergantung pada imej kamera litar tertutup (CCTV) Dewan Rakyat kerana rakamannya yang terhad dan kurang bermutu.
"Apa yang penting ialah kita mengadakan infrastruktur bagi perancangan melanjutkan siaran pada masa depan.
"Ini cuma permulaan dan kita akan melihat respons penonton sama ada program itu perlu diteruskan, dihentikan atau dilanjutkan masa siarannya,'' kata Ahmad Shabery kepada pemberita selepas meninjau persiapan RTM mengadakan siaran secara langsung persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula minggu depan.
Beliau yang berpuas hati dengan persiapan itu berkata, RTM mengambil risiko kemungkinan siaran langsung itu digunakan oleh wakil rakyat pembangkang untuk menimbulkan kekecohan.
Beliau mengakui langkah menyiarkan sidang Dewan Rakyat secara langsung, walaupun hanya setengah jam, adalah seperti membuka pintu air.
"Ia seperti membuka pintu air, sudah tentu ada sampah yang keluar bersama-sama. Namun, pada akhirnya, penonton yang menapis baik buruknya,'' kata beliau.
Menurut Ahmad Shabery, siaran langsung itu tidak melibatkan upacara mengangkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat pada Isnin ini kerana ia memakan masa yang terlalu lama.
Menjawab soalan kemungkinan siaran langsung itu akan tergendala jika terjadi kekecohan dalam Dewan Rakyat atau ketika isu sensitif ditimbulkan, Ahmad Shabery memberi jaminan ia tidak akan berlaku.
Malah, katanya, RTM tetap akan memberi tumpuan kepada wakil rakyat pembangkang termasuk mengundang mereka dalam slot Bersama Wakil Rakyat.
Katanya, walaupun ada siaran langsung, program Laporan Dari Parlimen yang disiarkan pada sebelah malam tetap akan diteruskan kerana ia adalah tradisi RTM.
"Pendekatan kita mementingkan nilai berita berbanding personaliti. Nilai berita adalah subjektif dan dari semasa ke semasa... kita akan sentiasa baiki objektiviti berkaitan nilai berita,'' katanya.
Habis

No comments: