Sunday, April 20, 2008

Jangan Salahkan sistem pembelajaran

SAYA tertarik dengan pandangan Ibu Prihatin dari Seremban dan Nadzri dari Salak Tinggi mengenai penguasaan bahasa Inggeris melalui Matematik dan Sains. Tetapi apa yang saya hendak utarakan di sini ialah tujuan itu tidak boleh dijadikan cara utama untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Pada pendapat saya, antara cara terbaik, dengan mewujudkan subjek Kesusasteraan Inggeris untuk pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah. Walaupun nampak seperti subjek itu susah, tetapi pada hakikatnya, dengan cara ini saya serba sedikit mahir dan memahami dalam perbualan bahasa Inggeris. Memang terbukti!
Saya adalah bekas pelajar dua jenis sekolah yang berbeza. Saya bermula dari Methodist Boys School (MBS) dan kemudian semasa di tingkatan 2, saya berpindah sekolah di Kajang, Selangor.
Perkara pertama yang membezakan sekolah lama dan baru ini, tiada subjek Kesusasteraan Inggeris di sekolah Kajang tersebut berbanding sekolah lama saya MBS. Di MBS, subjek ini menggalakkan dan mensyaratkan setiap pelajar membaca sekurang-kurangnya dua atau tiga buku cerita/novel bahasa Inggeris yang ada di perpustakaan.
Setiap pelajar akan memilih dan mencari makna setiap perkataan yang baru dikenali dalam dwibahasa dan membuat ayat lain daripada perkataan tersebut.
Selain itu, para pelajar dikehendaki membuat rumusan daripada bahan bacaan yang dibaca tersebut.
Walaupun pada mulanya agak melecehkan, tetapi akhirnya menjadi kebiasaan setiap pelajar, dan dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Berbanding di sekolah Kajang, penguasaan bahasa Inggeris hanya fokus semasa sesi pembelajaran Bahasa Inggeris, yang tertumpu lebih pada tatabahasa sahaja.
Penguasaan Inggeris dalam Matematik dan Sains bukan cara tepat untuk menjadikan seseorang pelajar itu mahir berbahasa Inggeris, kerana dalam Matematik dan Sains, semasa menjawab soalan, lebih tertumpu pada nombor, bukan pada susunan ayat.
Walaupun saya tidak mendapat markah yang tinggi dalam Bahasa Inggeris semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu yang disebabkan faktor penekanan bahasa Inggeris yang kurang di Kajang, tetapi hasil pembelajaran saya di MBS membuatkan saya masih dapat mengekalkan penguasaan bahasa Inggeris saya, dapat memahami dan berbual dengan orang asing di Malaysia.
Apa saya nak tekankan di sini, penguasaan bahasa Inggeris bukan melalui subjek Matematik dan Sains, tetapi melalui cara seperti saya nyatakan tadi, yang telah saya alami dulu.
– ex-MBS/SAAS,
Bangsar.

No comments: