Pandikar Amin Mulia dimasyhur sebagai speaker, Abdullah dahului majlis angkat sumpah
Tan Sri Pandikar Amin Mulia
KUALA LUMPUR: Persidangan penggal pertama Parlimen ke-12 bermula hari ini dengan acara mengangkat sumpah anggota-anggota Dewan Rakyat, didahului oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebelum itu, tokoh politik veteran dari Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. Pelantikan Pandikar Amin, 53, sebagai Speaker mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan oleh Abdullah, yang hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan berkenaan kepada Setiausaha Dewan Rosmee Hamzah, melalui surat bertarikh 10 April 2008.
Pelantikan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebelum mengangkat sumpah, Pandikar Amin dipakaikan songkok dan jubah Speaker oleh Rosmee dan pembantunya. Pandikar Amin adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah dilantik sebagai Senator dan menjadi Presiden Angkatan Keadilan Rakyat (Akar Bersatu)yang kini sudah dibubarkan. Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee masing-masing kemudian dipilih sebagai timbalan speaker melalui undi bersurat selepas tiga nama dicalonkan untuk jawatan itu.
Wan Junaidi dan Ronald dicalonkan oleh Perdana Menteri manakala penasihat DAP, Lim Kit Siang (Ipoh Timur) mencalonkan wakil Kepong Dr Tan Seng Giaw. Wan Junaidi mendapat 157 undi, Ronald memperoleh 140 undi manakala Dr Tan mendapat 81 undi. Dewan kemudian ditangguhkan untuk istiadat pembukaan yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin esok. Mesyuarat penggal kali ini akan bersidang selama 16 hari sehingga 27 Mei.
Pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu menyaksikan Barisan Nasional memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila memenangi 140 kerusi manakala pembangkang mendapat 82 kerusi iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23). Buat pertama kali, sesi soal jawab akan disiarkan secara langsung selama 30 minit melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula Rabu ini. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment