Friday, April 25, 2008

UMNO larang pengundian ala 'sistem Rakit'

KUALA LUMPUR 24 April - UMNO melarang pengundian ala 'sistem rakit' yang menetapkan 'kabinet bayangan' kepimpinan tertinggi secara pakej atau kem untuk dipilih oleh perwakilan pada pemilihan semua peringkat parti tahun ini.
Peraturan itu terkandung dalam Tataetika Ahli UMNO terbaru yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) pada mesyuarat yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Peraturan UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, ia bertujuan mengelakkan kewujudan kem tertentu pada pemilihan parti yang akan bermula secara berperingkat mulai Julai hingga Disember ini.
Pengundian 'sistem rakit' kebiasaannya digerakkan oleh ejen atau pelobi calon tertentu yang mengandungi senarai nama 'kabinet bayangan' kepimpinan dari peringkat Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 25 ahli MT.
Di peringkat bahagian dan cawangan pula, sudah ditetapkan 'barisan kepimpinan' meliputi Ketua Bahagian/Cawangan serta Timbalannya, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri.
''Perkara 8.2 tataetika yang dipersetujui oleh MT pada mesyuarat 27 Mac lalu melarang ahli yang diberi kuasa menjalankan pengundian pada perhimpunan tahunan cawangan, bahagian dan MT secara sistem rakit.
''Maknanya, ditegah perbuatan membentuk 'pakej-pakej' barisan kepimpinan parti sebaliknya perwakilan perlu diberi kebebasan memilih calon secara individu.
''Ahli parti yang ada maklumat mengenai perkara ini boleh buat laporan dan jika didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin, mereka terlibat boleh dihukum termasuk digantung keahlian atau dipecat dari parti," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Jalan Duta di sini hari ini.
Esok, Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO akan memulakan siri jelajah pertamanya di Sabah bagi memberi penerangan mengenai Tataetika Ahli UMNO terbaru itu kepada ahli parti.
Pemilihan parti di peringkat cawangan akan bermula 17 Julai hingga 24 Ogos ini, bahagian (9 Oktober hingga 9 November) manakala peringkat Pusat pada 16 hingga 12 Disember.
Menurut Muhyiddin, semua peraturan dalam tataetika itu berkuat kuasa serta-merta yang tempoh kuat kuasa itu bermula enam bulan sebelum proses pemilihan parti.
Kata beliau, Perkara 5.6.1 tataetika pula menerangkan bahawa kecuali pertemuan atau majlis yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat parti atau jawatankuasa penyelaras pemilihan negeri di bawah seliaan badan perhubungan negeri, ahli parti dilarang menganjurkan sebarang perhimpunan, pertemuan dan jamuan sebagai dorongan untuk mengundi calon tertentu.
''Contohnya calon menghadiri dan menganjurkan kenduri majlis kahwin... beliau atau ada ahli parti lain kemudian selepas kenduri itu bangun berucap bagi tujuan meraih undi, maka itu dianggap menyalahi tataetika.
''Demikian juga menjadi kesalahan jika menjalankan mesyuarat di tempat yang tidak ditetapkan, contohnya dengan motif untuk sekat ahli tertentu hadiri mesyuarat, maka dia (ketua bahagian) bawa ahli dengan bas, kemudian 'pusing' satu bandar atau negeri untuk adakan mesyuarat (dalam bas) selama satu jam, ia tetap salah," katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh pemilihan, ahli parti juga dilarang menerima atau membenarkan anggota keluarga termasuk isteri menerima sebarang bentuk hadiah seperti tambang percuma, kemudahan perjalanan, saham, konsesi, kontrak, gelaran dan anugerah.
Katanya, mengikut Perkara 7.2 tataetika, menjadi satu kesalahan bagi ahli mempertikaikan keputusan-keputusan MT dan Lembaga Disiplin.
''Jika berlaku, perbuatan itu dianggap menghina parti,'' kata Muhyiddin.

No comments: