Thursday, March 13, 2008

Cuepacs bincang dengan ketua 5 negeri
Kesatuan bimbang peralihan kuasa jejas kedudukan, kebajikan kakitangan awam KUALA LUMPUR: Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan menteri besar dan ketua menteri ditadbir pakatan Barisan Alternatif untuk mendapatkan penjelasan berhubung pendirian gabungan parti berkenaan mengenai kedudukan semua kakitangan awam di lima negeri dikuasai mereka. Presidennya, Omar Osman, berkata pertemuan itu penting bagi mengurangkan kekeliruan dan kebimbangan kakitangan awam yang berkhidmat di lima negeri ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas serta DAP seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Kedah. "Kita akan pertimbangkan banyak perkara sebelum melakukan kunjungan hormat kepada semua menteri besar dan ketua menteri di negeri ditadbir kerajaan campuran.
"Pertemuan ini penting kerana kita mahu tahu soal hak dan kebajikan pekerja, selain mendengar penjelasan mengenai manifesto yang dijanjikan parti pembangkang pada pilihan raya lalu (kepada kakitangan awam di negeri terbabit)," katanya ketika dihubungi semalam. Bagaimanapun, beliau masih belum dapat memastikan tarikh pertemuan bersama pemimpin di lima negeri berkenaan kerana perlu mendapatkan persetujuan pada mesyuarat kongres yang akan diadakan 1 April ini. Selain bincangkan kebajikan dan hak kakitangan awam di lima negeri diperintah pakatan pembangkang, Omar berkata, mesyuarat kongres berkenaan juga akan menyentuh permohonan bayaran sagu hati atau honorarium RM2,000 kepada kakitangan kerajaan seperti dituntut Cuepacs selama ini.
Katanya, dalam tempoh terdekat, Cuepacs tidak akan mendesak kerajaan untuk membuat pertimbangan segera kerana negara baru selesai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-12. Bagaimanapun, jika Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hasan tidak dapat membawa perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau sendiri akan berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara itu untuk menyampaikan mesej hampir 1.2 juta ahlinya berhubung honorarium berkenaan. "Cuepacs masih belum dapat sebarang maklum balas daripada kerajaan tetapi sekiranya mesyuarat kongres mahu perkara ini terus dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri, kita akan lakukan dengan mengambil kira masa yang sesuai," katanya. Mengulas mengenai manifesto pembangkang, Omar berkata, beliau akan memastikan semua janji yang ditabur pihak berkenaan ketika berkempen tidak menghampakan kakitangan awam yang berkhidmat di Kedah, Kelantan, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Katanya, Cuepacs tidak akan meminggirkan masalah ahlinya yang bekerja di lima negeri terbabit, oleh itu, perbincangan bersama pucuk pimpinan negeri adalah cara terbaik bagi memastikan kebajikan dan hal ehwal kakitangan awam terbela. "Kita berharap kakitangan awam tidak cemas dengan peralihan kuasa (di lima negeri yang dirampas BA) tetapi sekiranya berlaku diskriminasi di tempat kerja, saya mahu mereka segera melaporkannya supaya Cuepacs boleh membantu," katanya.
Pengundi Melayu termakan janji pembangkang
Oleh Nordiana Abd Wahab
KUALA LUMPUR: Tindakan pengundi Melayu memilih pakatan barisan alternatif pada pilihan raya umum lalu dilihat sebagai termakan janji manifesto dan eksperimen untuk menguji kemampuan pembangkang mentadbir. Sambil menyifatkan ia berlaku disebabkan beberapa faktor sampingan, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata peralihan undi itu bukan bermakna orang Melayu kurang cerdik, tetapi memberi mandat kerana termakan umpan pembangkang yang berjanji untuk membela nasib rakyat melalui manifesto mereka. Katanya, pembangkang memperoleh mandat besar juga bukan disebabkan peralihan undi orang Melayu tetapi disebabkan peralihan undi oleh majoriti masyarakat Cina kepada parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kita menghormati pilihan rakyat kerana ini negara demokrasi, tetapi apa yang kita lihat peralihan undi ini lebih untuk melihat kemampuan pembangkang menerajui negeri dan menunaikan janji yang mereka buat sebelum pilihan raya dan isu setempat membawa pada kekalahan BN. “Ramai orang yang kita temui mengaku mengundi pembangkang sebagai satu eksperimen, tapi mereka tidak jangka keadaan boleh jadi begini selain tidak mengambil kira sama ada pemilihan mereka itu akan membawa kekuatan dan kestabilan negeri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam. Pengarah Eksekutif Kajian Strategi Melayu, Datuk Dr Mohd Radzi Abd Latif, berkata situasi berkenaan menunjukkan hak mereka sebagai pengundi dan juga disebabkan pembangkang bijak dengan memainkan permasalahan semasa untuk meraih undi.
“Tempoh kempen yang lama memberi masa untuk pengundi menetapkan keputusan dan menilai semua mesej yang disampaikan baik oleh kerajaan mahupun pembangkang. “Kita rasa soal bangsa dan agama sudah tidak relevan lagi bagi senario politik negara, apa yang penting pengundi melihat pada janji dan mesej yang disampaikan pakatan pembangkang yang dilihat cuba membela nasib rakyat,” katanya. Pandangan itu disokong Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad, yang menyifatkan rakyat ingin menyampaikan mesej bahawa kuasa sebenar terletak di tangan mereka sekali gus pemimpin harus menghormati dan memahaminya sebaik mungkin. "Perkara ini berpunca dari rasa tidak puas hati rakyat, mereka bukan hendak sangat pembaharuan, kerajaan pertimbangkan dan fikir mengapa berlakunya situasi ini selain perlu melihat pelbagai kemungkinan dan menyelami kehendak masyarakat yang inginkan perubahan serta ingin suara mereka didengar," katanya.
NASIONAL
PKR mahu kaji semula manifesto

SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilantik Menteri Besar Selangor yang baru semalam, berkata semua janji manifesto parti itu untuk rakyat Selangor akan dilaksanakan tetapi perlu kajian semula. Beliau berkata, pihaknya akan kemukakan manifesto yang dibuat untuk rakyat Selangor itu tidak lama lagi dan perinciannya akan diberitahu kepada media termasuk aktiviti parti itu pada sidang media yang dirancang diadakan dari semasa ke semasa. Katanya, walaupun manifesto pilihan raya yang janjikan PKR dan sekutunya, DAP dan Pas, kebanyakannya berkait rapat dengan Kerajaan Persekutuan tetapi yakin ada sesuatu yang mampu ditawarkan kepada rakyat Selangor.
"Ya (kita akan laksanakan manifesto) untuk di Selangor dan kita akan kemukakannya tidak lama lagi. Kita akan kembali kepada anda (semua) pada sidang media yang kita rancang. "Buat masa ini, kita masih mengkaji semula (manifesto) tetapi kebanyakan janji yang dibuat semua parti berkait rapat dengan kerajaan Pusat," katanya pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan sebagai Menteri Besar ke-14 di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam. Antara tawaran yang dibuat PKR dan Pas pada pilihan raya lalu kepada rakyat Selangor jika dipilih memerintah ialah mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial sebanyak 10 peratus, memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan dan memberi cuti bersalin selama 90 hari kepada wanita bekerja.
Ditanya pendiriannya mengenai tindakan kerajaan Pulau Pinang yang tidak mahu mengamalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), beliau berkata; "Saya tak nampak DEB sebagai isu. Kita bukan bias kepada satu kaum saja. Sebaliknya kita akan bekerja untuk semua yang memerlukan tanpa mengira mereka Melayu, Cina atau India. "Walaupun kita perlu hormati hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi kita juga perlu hormati hak kaum lain," katanya. Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan campuran yang dibentuk hasil gabungan PKR, DAP dan Pas berjanji mematuhi nasihat Sultan Selangor supaya tidak melakukan pertukaran mendadak penjawat awam di negeri itu.
Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang berat kelancaran jentera perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan negeri. "Baginda bertitah supaya tidak berlaku pertukaran secara mendadak di kalangan pegawai kanan dan penjawat awam lain yang sedang berkhidmat di negeri itu supaya pentadbiran kerajaan dapat diteruskan dengan sempurna dan lancar," katanya. Abdul Khalid, berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud supaya tidak melakukan pertukaran pegawai dan kakitangan dalam tempoh setahun ini untuk menjimatkan kos pentadbiran. "Saya juga akan mencadangkan supaya kerajaan negeri tidak membeli kereta baru untuk Menteri Besar kerana saya sudah ada kereta sendiri," katanya.
Ditanya pendiriannya mengenai tindakan kerajaan Pulau Pinang yang tidak mahu mengamalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), beliau berkata; "Saya tak nampak DEB sebagai isu. Kita bukan bias kepada satu kaum saja. Sebaliknya kita akan bekerja untuk semua yang memerlukan tanpa mengira mereka Melayu, Cina atau India. "Walaupun kita perlu hormati hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi kita juga perlu hormati hak kaum lain," katanya. Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan campuran yang dibentuk hasil gabungan PKR, DAP dan Pas berjanji mematuhi nasihat Sultan Selangor supaya tidak melakukan pertukaran mendadak penjawat awam di negeri itu.
Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang berat kelancaran jentera perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan negeri. "Baginda bertitah supaya tidak berlaku pertukaran secara mendadak di kalangan pegawai kanan dan penjawat awam lain yang sedang berkhidmat di negeri itu supaya pentadbiran kerajaan dapat diteruskan dengan sempurna dan lancar," katanya. Abdul Khalid, berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud supaya tidak melakukan pertukaran pegawai dan kakitangan dalam tempoh setahun ini untuk menjimatkan kos pentadbiran. "Saya juga akan mencadangkan supaya kerajaan negeri tidak membeli kereta baru untuk Menteri Besar kerana saya sudah ada kereta sendiri," katanya.