Thursday, March 13, 2008

Cuepacs bincang dengan ketua 5 negeri
Kesatuan bimbang peralihan kuasa jejas kedudukan, kebajikan kakitangan awam KUALA LUMPUR: Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan menteri besar dan ketua menteri ditadbir pakatan Barisan Alternatif untuk mendapatkan penjelasan berhubung pendirian gabungan parti berkenaan mengenai kedudukan semua kakitangan awam di lima negeri dikuasai mereka. Presidennya, Omar Osman, berkata pertemuan itu penting bagi mengurangkan kekeliruan dan kebimbangan kakitangan awam yang berkhidmat di lima negeri ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas serta DAP seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Kedah. "Kita akan pertimbangkan banyak perkara sebelum melakukan kunjungan hormat kepada semua menteri besar dan ketua menteri di negeri ditadbir kerajaan campuran.
"Pertemuan ini penting kerana kita mahu tahu soal hak dan kebajikan pekerja, selain mendengar penjelasan mengenai manifesto yang dijanjikan parti pembangkang pada pilihan raya lalu (kepada kakitangan awam di negeri terbabit)," katanya ketika dihubungi semalam. Bagaimanapun, beliau masih belum dapat memastikan tarikh pertemuan bersama pemimpin di lima negeri berkenaan kerana perlu mendapatkan persetujuan pada mesyuarat kongres yang akan diadakan 1 April ini. Selain bincangkan kebajikan dan hak kakitangan awam di lima negeri diperintah pakatan pembangkang, Omar berkata, mesyuarat kongres berkenaan juga akan menyentuh permohonan bayaran sagu hati atau honorarium RM2,000 kepada kakitangan kerajaan seperti dituntut Cuepacs selama ini.
Katanya, dalam tempoh terdekat, Cuepacs tidak akan mendesak kerajaan untuk membuat pertimbangan segera kerana negara baru selesai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-12. Bagaimanapun, jika Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hasan tidak dapat membawa perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau sendiri akan berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara itu untuk menyampaikan mesej hampir 1.2 juta ahlinya berhubung honorarium berkenaan. "Cuepacs masih belum dapat sebarang maklum balas daripada kerajaan tetapi sekiranya mesyuarat kongres mahu perkara ini terus dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri, kita akan lakukan dengan mengambil kira masa yang sesuai," katanya. Mengulas mengenai manifesto pembangkang, Omar berkata, beliau akan memastikan semua janji yang ditabur pihak berkenaan ketika berkempen tidak menghampakan kakitangan awam yang berkhidmat di Kedah, Kelantan, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Katanya, Cuepacs tidak akan meminggirkan masalah ahlinya yang bekerja di lima negeri terbabit, oleh itu, perbincangan bersama pucuk pimpinan negeri adalah cara terbaik bagi memastikan kebajikan dan hal ehwal kakitangan awam terbela. "Kita berharap kakitangan awam tidak cemas dengan peralihan kuasa (di lima negeri yang dirampas BA) tetapi sekiranya berlaku diskriminasi di tempat kerja, saya mahu mereka segera melaporkannya supaya Cuepacs boleh membantu," katanya.

No comments: