Selangor cadang teliti semula lokasi ladang babi14/04/2008 4:20pm
KLANG 14 April – Selangor akan meneliti secara terperinci sama ada untuk meneruskan lokasi projek ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta itu di Sepang atau di kawasan lain di negeri ini.
Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu berkata, penelitian tersebut dibuat setelah kerajaan negeri menerima cadangan daripada pihak-pihak tertentu yang mahu projek berkenaan dialihkan ke kawasan lain.
Katanya, keputusan untuk melaksanakan projek berkenaan masih belum diputuskan lagi kerana kerajaan negeri, ketika ini sedang mengkaji keperluan-keperluan tertentu yang membolehkan lokasi projek berkenaan diubah.
Bagaimanapun status projek itu setakat ini, katanya, masih mengikut perancangan dan lokasi asal iaitu di Ladang Tumbuk, Mukim Batu, Kuala Langat.
Malah, beliau turut difahamkan projek berkenaan membabitkan peruntukan di bawah dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bukannya daripada kerajaan negeri.
"Saya akan fikir dan teliti segala cadangan daripada semua pihak mengenai projek ini. Tetapi kawasan sedia ada (Ladang Tumbuk) sememangnya telah menjadi ladang ternakan babi sejak dahulu lagi dan kita masih kekalkan keputusan projek ini.
"Bagaimanapun, dalam masa yang sama kita juga akan meneliti secara terperinci sebarang cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pertemuan dengan wakil-wakil rakyat Parlimen Klang bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mislan Tugiu di sini hari ini.- Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment